Sunday, November 15, 2009

Menuju Alam Perkahwinan - Bahagian 2


5 Tips Agar Si Dia Bersikap Terbuka

Keluhan seperti, "susahnya nak faham, saya tak tahu apa yang dia sedang fikirkan..." sering kita dengar daripada mulut si isteri. Dari hasil suatu kajian menunjukkan bahawa 42 peratus wanita memiliki kesukaran untuk membuat pasangannya bersikap terbuka atau lebih terbuka. Jika hal tersebut berlaku, wanita sering merasa putus asa, kecewa dan si suami pula akan merasa dipersalahkan. Lelaki hanya ingin berbincang dalam keadaan-keadaan tertentu. Kebanyakan lelaki tidak mahu rasa terbeban. Jadi, apakah rahsianya yang boleh membuatkan pasangan anda akan lebih terbuka?


Rahsia 1

Lelaki takut akan penolakan. Kebanyakan lelaki merasakan bahawa wanita sangat kritis terhadap mereka dan mereka bimbang jika mereka bersikap terbuka, orang lain akan mentertawakan, membiarkan mereka merasa diketepikan dan malu. Penting bagi wanita untuk menyedari bahawa ego dan keakuan seorang lelaki sangat rapuh, dan mudah terluka dibandingkan wanita. Lelaki biasanya berusaha untuk menarik perhatian pasangannya, mendapatkan respons dan merasa bahawa dia telah menyenangkan pasangannya. Jika seorang lelaki itu menganggap anda melihat dia dengan pandangan yang berbeza dari sebelumnya setelah dia mengatakan sesuatu hal, percayalah selepas itu dia sukar atau tidak akan berbicara lagi dengan anda.Untuk membuatkan seorang lelaki bersikap terbuka, dia harus berasa dirinya diterima oleh pasangan sebagai dirinya seadanya. Bersabarlah terhadapnya. Jika anda memberikan respons terhadap ucapannya dengan balasan bantahan seperti; "Itu tidak benar, saya tidak setuju dengan hal tersebut" Atau "Dari mana awak mendapat idea gila tu?" Tentu saja responnya langsung merendahkan dirinya. Mereka khuatir jika mereka mengucapkan sesuatu yang terlalu personal atau peribadi, berkemungkinan tidak sesuai dengan gambaran yang sedia ada. Jangan halang dia untuk mengungkapkan siapa dirinya yang sebenar. Jika anda dapat menyingkirkan semua harapan anda dan benar-benar cuba mencari siapa dirinya, dia akan segera merasakannya. Malah, dia akan merasa lebih mudah dan senang untuk berbicara dengan anda.


Rahsia 2

Kongsi juga rahsia anda dengannya. Pastilah anda saling bergantung antara pasangan. Kebanyakan lelaki berfikir, "Jika saya menceritakan hal tersebut, pasti dia akan meninggalkan saya". Anda harus menunjukkan padanya bahawa anda percaya padanya sehingga anda pun bersikap terbuka dan berkongsi apa sahaja rahsia anda. Pada saat dia mula bersikap terbuka, dengarkanlah apa yang ingin dikatakannya, kemudian tawarkan sesuatu yang positif padanya. Contoh: "Pengalaman abang boleh tahan sedihnya, saya pun pernah mengalaminya" atau "Saya kagum atas tindakan awak waktu itu" dan ambillah contoh dari ceritanya tadi yang membuatkan anda kagum padanya (jangan pula terlalu berpura-pura, kerana semua orang boleh perasan kalau lawan cakapnya sedang mengatakan sesuatu yang tidak benar). Biarkan dia mengetahui bahawa anda adalah di pihaknya dan dia tidak bersendirian dalam pengalamannya.Kebanyakan wanita mendengar apa yang dikatakan lelaki dan memberi respons negatif dengan memberikan cadangan seharusnya tindakan kamu patut begini atau begitu. Penting untuk melihat situasi dari sudut pandangan dia. Kejujuran dan respons positif dari anda sangat diharapkannya. Pasangan anda akan merasa ada seseorang yang cukup memahami dan memberi perhatian kepadanya. Dan ini akan membuatkan mereka lebih terbuka lagi dengan anda.


Rahsia 3

Lupakan masa lalu. Pernahkah anda berbincang dengan pasangan anda dan berakhir dengan keadaan yang tidak menyeronokkan kerana kesalahan masa lalu yang dilakukannya. Atau mungkin kerana sikapnya yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan anda. Jika seseorang lelaki merasa bahawa kata-katanya nanti akan disalah ertikan, nampaknya makin susahlah dia ingin bersikap terbuka. Dan satu-satunya cara untuk menghindar dari jerat komunikasi seperti ini adalah menyedari bahawa apa pun yang terjadi di masa lalu, atau apa pun yang dikatakan atau dilakukan olehnya, anda terlibat sama di dalamnya.Semua hubungan adalah seperti tarian, tidak ada yang lebih baik atau pun lebih buruk. Kemampuan untuk memaafkan menjadi mudah jika anda cuba memahami bahawa apa saja sikapnya terutama sikap negatif pada dirinya setahun lalu (juga tentang diri anda), mungkin sudah tidak ada lagi pada waktu ini. Komunikasi yang baik memerlukan kemampuan untuk tetap berpegang pada sikap dan keadaan di masa sekarang dan membiarkan masa silam berlalu.


Rahsia 4

Menjadi pendengar yang baik dan melindungi. Bolehkah anda mendapat hubungan yang jujur? Dan alasan terbesar orang yang tidak jujur adalah kerana akibatnya yang juga terlalu besar. Kebanyakan lelaki berpendapat wanita ingin dan perlu dibohongi kerana mereka tidak dapat menerima kejujuran. Lagi pun mereka khuatir pasangannya akan sedih. Kenyataannya, kebanyakan wanita menggunakan emosi mereka untuk mengawal lelaki dan mengawal hubungan mereka. Mereka menuntut respons yang jitu daripada pasangannya dan merasa stres bila mereka tidak mendapatkannya.Tetapi dengan keinginan pasangannya untuk mendengar apa yang harus dia katakan merupakan peringkat awal hubungan yang dewasa. Ini memberikan pada lelaki suatu perasaan bahawa dia memiliki pasangan yang baik yang akan bersamanya dalam suka dan duka. Kemampuan untuk menerima kejujuran dari orang lain meningkatkan kesedaran kita bahawa keharmonian tidak datang kerana persetujuan dari pihak lain, namun dari keikhlasan terhadap diri sendiri.


Rahsia 5

Kebenaran dan keikhlasan pada diri sendiri; waspadalah! Cara yang paling baik untuk membantu seorang lelaki bersikap terbuka adalah terbuka terhadap diri sendiri, dan ciptakan suasana yang hangat dan dapat diterima oleh dirinya. Contoh, dapatkah anda memaaafkan diri anda sendiri atas kesilapan yang dibuat pada masa lalu? Atau anda sentiasa diliputi dengan perasaan bersalah atas kesalahan yang dibuat dulu? Ketika anda memperlakukan diri anda seperti ini, secara semula jadi pasti anda akan melakukan hal tersebut pada pasangan anda.Jika anda terluka, ini kesempatan anda untuk membuat keputusan agar hidup anda tidak dibayangi masa lalu lagi. Kadangkala kita mahu orang lain menerima hal yang sama kembali. Jika anda tidak dapat terima, kekecewaan mulai timbul. Anda harus menyedari bahawa anda akan memberi lebih banyak dari apa yang akan anda terima. Ketika anda memberi pasangan atau orang lain rasa hormat tanpa syarat, anda memberikan hal tersebut juga untuk diri anda sendiri.


Sumber: Mingguan Wanita

0 comments:

 
Related Posts with Thumbnails