Wednesday, August 24, 2011

Berakhirnya Sebuah Penantian - 17jam 45min Detik Kelahiran

Assalamualaikum w.b.t
Dalam entry sebelum ini, aku mencatatkan pengalaman hampir 10 bulan berbadan dua. Kini, ingin aku kongsikan pula saat getirnya melahirkan si comel bb Dzulaiha. Semoga dapat menjadi panduan kepada mereka yang bakal bergelar seorang 'IBU'.
Tanggal Rabu, 8 Disember 2010 jam 3 pagi segalanya bermula. Rasa tidak selesa dan perasaan gusar saat itu cuba dibendung. Walaupun rasa sakit, aku tahu masa sebenar belum tiba (berdasarkan pembacaan aku di internet dan buku-buku). Aku terus berjaga sehingga pagi kerana tidak boleh lelap mata dengan perut yang seakan-akan memulas. 

Subuh menjelma. Seperti biasa aku bersiap-siap untuk pergi kerja tetapi hati rasa kurang enak. Diluahkan rasa itu pada hubby...cemaslah dia dan mulalah dia membebel "Kenapa tak kejut saya pagi-pagi tadi?Ni kan kecemasan!"..."Kita balik kampung!"..."Awak boleh tahan sakit lagi tak?"..."Macam mana ni, nak balik kampung ke singgah klinik check dulu?" - itulah antara kata-kata yang masih aku ingat saat aku sendiri pun bingung tapi thanks a lot to my hubby sebab kerisauannya memberi semangat untuk aku terus bertahan. Pagi itu kami bergegas pulang ke kampung. Sepatutnya hari itu aku kena pergi klinik untuk menjalani pemeriksaan mingguan. Memandangkan ini pengalaman pertama, kami berhenti dulu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk pemeriksaan. Malangnya kena tahan wad pula, cancel balik kampung!

1st time duduk wad, 2nd class - 1 bilik 4 orang..not bad. Ada seorang patient depan katil aku, baru lepas bersalin anak lelaki. Cute sangat! Malangnya kena vakum, kasihan. Aku hanya berdoa semoga proses kelahiranku berjalan lancar semuanya. 

Waktu melawat tengah hari, keluarga dan mertuaku datang melawat. Kebetulan semasa lawatan adalah masa untuk pemeriksaan. Maka, aku pun diperiksalah oleh pelejar-pelajar yang sedang buat praktikal. Cari contraction aku tak jumpa-jumpa! Aku pula yang beritahu bila masa adanya contraction. Time ni boleh senyum+gelak lagi walaupun kadang-kadang rasa sakit datang. Tamat waktu melawat, aku tinggal seorang lagi, bosannya..

Sakitku makin kuat diiringi lelehan darah. Aku boleh tahan lagi dan cuba untuk tidak panik. Macam-macam gaya aku buat semua serba tidak kena. Sekejap aku duduk-kemudian berjalan-baring pula tapi sakit yang mendatang makin keras dan datang makin kerap. Lebih kurang waktu minum petang, aku mengadu pada seorang jururawat tapi katanya nanti doktor datang periksa jam 7 petang. Lamanya!!!  Jam 4.30 petang, hubby dan mertua datang melawat lagi. Alangkah bagusnya jika hospital kerajaan benarkan para suami temankan isteri mereka. Apakan daya, aku kena harungi saat itu seorang diri dan perlu bertabah.

Masa bergerak sangat lambat bagiku. Aku sudah tidak boleh tahan sakit yang datang tapi doktor masih belum tiba juga walaupun jam sudah 7.30 malam. Dalam 8.00 malam, doktor-doktor tiba. Hairan betul sebab semuanya menumpu pada seorang pesakit sahaja disebabkan pesakit tersebut sakit sangat-sangat dari masuk wad tapi bukaan pitu rahimnya baru 1.5cm saja. Tiada siapa hiraukan aku. Mana boleh jadi! Aku pun sakit juga! Akhirnya aku panggil doktor pakar seorang ini dan menceritakan kesakitan yang aku tanggung serta apa yang berlaku sejak petang tadi. Apalagi, kena marahlah doktor-doktor dan jururawat yang ada di situ sebab tidak melihat keadaan aku. Bila diperiksa rupa-rupanya bukaan aku sudah 9cm!!! Bayangkan jika aku masih tidak dilayan, mahu terbersalin aku di wad malam itu.

Jam 8.45 malam, aku diusung segera ke bilik bersalin. Aku hanya sempat sms hubby saja memberitahu aku sudah dibawa ke bilik bersalin. Aku suka  bilik bersalin di hospital ini sebab ianya khas untuk setiap seorang pesakit pada satu-satu masa. Adik jururawat yang praktikal tegur, cakap aku nampak cool tak macam orang nak bersalin. Kembanglah juga tapi tuhan saja yang tahu kesakitannya. Sampai di bilik bersalin, bukaanku cukup 10cm dan semua prosedur untuk menyambut kelahiranku telah disediakan. Syukur sangat sebab pada malam itu tidak ramai yang bersalin jadi suasana tidaklah bingit sangat. Tepat 10.30 malam, aku rasa aku sudah bersedia untuk melahirkan bayi pertamaku. Semua kakitangan horpital memberikan kerjasama+semangat bagi memudahkan proses kelahiranku. Alhamdulillah, dengan segala kudrat+izinNya aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan tepat 10.45 malam (Khamis malam Jumaat).


Saat menatapi buat pertama kalinya puteri comelku sangat membahagiakan. Hilang sekejap rasa sakit. Selepas mendukungnya seketika, bayiku dibawa keluar untuk diperiksa secara keseluruhannya. Sementara itu, aku menjalani prosedur yang seterusnya. Malangnya, hampir 2 jam aku berada dalam bilik bersalin disebabkan pendarahan yang tidak berhenti. Aku hanya berdoa semoga dipermudahkan urusanku. Alhamdulillah, jam 1.00 pagi barulah aku dibenarkan kembali ke wad. Namun, aku tidak boleh tidur pun sebab si kecil kadang-kala merengek-rengek dan aku pun tidak tahu apa yang dia inginkan. 


Alhamdulillah, keesokan harinya pendarahanku kembali kurang tapi badanku masih lemah. Tidak sabar rasanya untuk pulang segera ke rumah. Selepas menjalani pelbagai prosedur, petang itu aku dibenarkan pulang kerana aku tidak mengalami sebarang komplikasi. Syukur.


Begitulah serba sedikit detik-detik hampir 18 jam penantian untuk melahirkan bayi pertamaku. Semoga kisah ini dapat dijadikan panduan dan perkongsian bersama.


Nama: Nurnajmi Dzulaiha bt Zulkarnain
Berat: 3.4kg
Masa: 10.45 malam (Khamis malam Jumaat)


0 comments:

 
Related Posts with Thumbnails