Sudah lama tidak mencoret rasa di laman ini, agak kurang manis dan serinya 'Ceri Merah'. Mana perginya kemanisan ceri dan kemekaran warna merahnya ceri? Tuntutan masa yang agak padat di samping kekangan daripada keadaan sekeliling membantutkan hasrat aku tiap kali ingin mencurah bicara. Terlalu baynak yang ingin aku kongsi di sini namun masih tiada keizinan waktu. Aku masih menjalani hari-hari sisa berkursus di Kajang. Namun, nasib dan hala tuju selepas ini masih samar sekaligus merudumkan semangat. Puas juga menasihati diri, menguatkan semangat, tabahkan hati, berfikiran positif tapi keadaan makin bertambah sukar dan hanya menyesakkan. Terasa seperti bernafas dalam lumpur pula. Tatkala rasa kurang enak ini hadir akibat runtuhnya motivasi diri, aku jadi semakin keliru dan tertanya-tanya tentang nasib diri yang masih tidak ampuh kedudukannya. Bukan tidak mensyukuri apa yang aku miliki sekarang tetapi apalah ertinya semua ini jika hati tidak berasa selamat lagi. Memang semuanya nampak mudah sejak aku melihat dunia ini, belum lagi aku diuji dengan dugaan yang tidak tertanggung oleh aku. Jika dibandingkan dengan takdir insan di luar sana yang lebih menderita, aku patut sangat berterima kasih kepada-Nya. Setakat ini yang kuasa tidak pernah menghampakan aku. Selalu menyelamatkan ketika aku dalam kebuntuan tapi aku juga yang tidak sedar diri, selalu leka dan hanyut denagn dunia. Aku bersyukur kerana tiap kali berbuat salah aku cepat sedar, jika kesedaran itu tiada maknanya tuhan sudah tidak endah akan aku kerana perasaan sedar itu pun hadir dengan kehendak-Nya. Sekarang ini aku rasa hidup macam di awang-awangan. Apa tidaknya sekejap dihantar ke sana, sekejap ditendang ke sini semula..tiba-tiba nanti disuruh pula ke nun jauh di situ. Jika beginilah hidup aku memang sakitlah bila difikirkan kerana aku tidak akan rasa berada dalam hidup yang telah stabil. Mungkin ini pun salah satu dugaan juga tapi rasa macam lama sangat pula diuji.
bersambung...
bersambung...
0 comments:
Post a Comment