Wednesday, April 15, 2009

Lawatan Sambil Belajar

Tanggal 8 April yang lalu, aku dan rakan-rakan sekerja sekali lagi mengikuti lawatan sambil belajar dan kali ini destinasi kami ialah Petronas Pemprosesan Melaka di Sungai Udang, Melaka. Objektif lawatan ini ialah untuk memberikan pendedahan awal dan menambahkan pengetahuan kami tentang proses-proses yang terlibat untuk menghasilkan produk berguna daripada petroleum asli.

Secara amnya tapak memproses petroleum yang dimiliki oleh syarikat minyak negara kita ini merupakan pelan memproses petroleum yang terbesar sekali di rantau Asia Tenggara. Memiliki dua buah pelan memproses iaitu PSR-1 dan PSR-2 membolehkan ia menghasilkan kapasiti produk sehingga 100, 000 barrel/sehari. Bagi merealisasikan matlamat unutk menjadi pelan memproses petroleum yang terbaik di rantau Asia Tenggara, seluruh warga Petronas Pemprosesan Melaka bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga kualiti produk yang dihasilkan dan penyelidikan demi penyelidikan giat dijalankan bagi meningkatkan taraf produk yang dikeluarkan.

Ada desas-desus mengatakan bahawa pelan ini terletak di persisiran pantai Melaka kerana kerajaan mempunyai agenda-agenda tertentu. Khabar angin yang pernah aku dengar ialah untuk menaiktaraf sosioekonomi para penduduk sekitar terutamanya orang-orang Melayu. Maklumlah, sebuah pusat memproses petroleum sudah lama beroperasi di Kerteh dan ia didakwa bagi membangunkan kawasan sekitar seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada penduduk Pantai Timur. Sejauh manakah tanggapan-tanggapan ini benar?Semasa sesi soal jawab berlangsung, soalan ini turut dikemukakan dan jawapan yang diberikan ada logiknya. Menurut kakitangan yang bertugas, sebab utama pusat pemprosesan ini dibina di Melaka ialah bagi menampung keperluan memproses minyak di daerah Pantai Barat. Sebelum wujudnya pusat pemprosesan petroleum di Melaka, semua petroleum asli dihantar ke Kerteh malah sebahagian besarnya dibawa dari Singapura dan kosnya amat tinggi. Oleh yang demikian, lahirlah Petronas Pemprosesan Melaka. Alhamdulillah, wujudnya pelan memproses ini juga dapat mengubah nasib penduduk setempat secara tidak langsung. Bersyukurlah...

Seterusnya, satu lagi isu yang sering digembar-gemburkan ialah tentang kualiti minyak yang dihasilkan dan dijual oleh Petronas di dalam negara dikatakan berkualiti rendah oleh sesetengah pihak. Pihak ini turut mendakwa hal ini berlaku kerana hasil bumi yang berkualiti oleh negara kita pula dijual kepada negara luar. Benarkah dakwaan ini? Menurut kakitangan bertugas, negara kita hanya menghasilkan minyak RON-92 dan RON-95 sahaja. Semua sedia maklum bahawa minyak RON-97 adalah yang terbaik tetapi negara kita tidak menghasilkannya bukan kerana tidak mampu tetapi atas sebab-sebab tertentu. Bagi menghasilkan minyak RON-97, kuantiti petroleum asli yang diperlukan lebih banyak sedangkan kebanyakan kereta-kereta di negara kita direkacipta untuk menggunakan minyak sehingga RON-95 namun ini tidak bermakna minyak RON-97 tidak boleh digunakan oleh kereta-kereta terbabit tetapi ianya adalah suatu pembaziran kerana kereta tersebut sudah boleh beroperasi pada tahap maksimum walau hanya menggunakan minyak RON-95. Di samping itu, petroleum asli negara kita adalah yang terbaik di seluruh dunia maka khazanah berharga ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya maka apa yang dipanggil reserved oil perlu disimpan bukan untuk kita sahaja malah lebih penting untuk generasi akan datang. Jadi, bagaimana pendapat anda sekarang?

Demikianlah serba sedikit info yang dapat aku kongsi di Ceri Merah ini, harap dapat membantu para pembaca sekalian. Di bawah ini ada beberapa keping foto yang diambil semasa lawatan, semoga terhibur!!



Mendengar penerangan di dalam dewan


Pandangan menyeluruh pelan pemprosesan dari puncak Bukit Tinjau


Jeti di mana kapal-kapal tangki membawa petroleum mendarat


Pemandangan 2 buah column dari Bukit Tinjau


Pas masuk ditampal pada cermin hadapan bas - sistem keselamatan yang ketat

0 comments:

 
Related Posts with Thumbnails