Thursday, April 23, 2009

Shopping Mania @ Jusco Cheras

Resit, bukti aku bershopping hari ini!


Baucer yang berjaya aku tebus..syukurlah RM10, siapa mahu bagi?


Aku berjaya memiliki purse akhirnya..simple+easy


Hari ini aku cuti lagi. Bosan duduk di rumah seorang diri, aku menemani kawan aku untuk bershopping. Maklumlah ada sale sehingga 70%, mesti aku tidak lepas peluang. Lagipun gaji baru sahaja masuk. Pada mulanya aku tidak berniat untuk membeli-belah tetapi bila sudah sampai Jusco, rabun mata juga aku dibuatnya. Aku tidak mengeluarkan duit untuk berbelanja kerana takut terover budget, lagipun ATM rosak pula. Seawal 9.30 pagi barulah kami tiba walaupun masa sebenar yang diambil sepatutnya hanya 1/2 jam sahaja. Ini semua kerana begitu ramai orang yang berpusu-pusu untuk tidak melepaskan peluang jadi berlakulah sedikit gangguan laluan lintas di jalan masuk Jusco. Walaupun masih awal, Jusco sudah sesak dengan ramai pelanggannya. Aku pula agak kurang minat untuk membeli-belah jika suasana begitu sesak tapi sempat juga aku memilih beberapa jenis barang yang ingin dibeli. Alhamdulillah, purse yang selama ini aku cari akhirnya dapat aku temui. Susah juga sebenarnya untuk mencari purse yang berkenan di hati, puas aku cari sejak purse lama rosak tapi baru kini aku jumpa. Aku juga sempat bershopping sehelai blouse dan seluar hitam bagi menggantikan blouse hitam aku yang telah lusuh. Bila kira-kira semula hampir RM2++ juga aku habis! Nasib baik ada sale, jika tidak sudah tentu lebih lagi.

Wednesday, April 22, 2009

Bersantai di Sungai Gabai

Besarnya ulat gonggok..eeeee!


Kaki aku yang kesejukan


Derasnya air yang menghempas batu


Air terjun..cantik dan menenangkan

21 April 2009, aku dan kawan-kawan sekerja meluangkan masa ke air terjun Sungai Gabai. Tujuan utama sudah tentulah untuk menghilangkan stress dan melapangkan minda dengan menghayati alam sekitar yang menyamankan setelah terjerat dengan jadual kelas yang ketat. Sebenarnya, idea bersantai ini diutarakan oleh salah seorang rakan.Pada mulanya masing-masing masih berkira-kira apakah rancangan untuk cuti selama 4 hari ini. Alhamdulillah, oleh sebab masing-masing masih belum memiliki sebarang pelan maka kami semua sepakat untuk berkelah di Sungai Gabai dan akhirnya seramai 10 orang (3 perempuan, 7 lelaki) telah mengikuti program kali ini. Sungai Gabai terletak lebih kurang 30km daripada Kajang. Rombongan 3 buah kereta bertolak lebih kurang pukul 12 tengah hari dan kami tiba hampir 1.30 petang. Syukur kerana cuaca tidak begitu panas atau hujan. Pengunjung juga tidak ramai kerana hari itu adalah hari bekerja jadi tidaklah sesak sangat. Setibanya di lokasi, kami menunaikan solat Zuhor dahulu, kemudian kami bersama-sama mengerah tenaga untuk mendaki tangga untuk ke puncak yang lebih tinggi. Ini kerana keadaan tempat untuk mandi di kaki bukit kurang sesuai dan agak bahaya. Setelah penat menaiki tangga, akhirnya kami pun tiba di kawasan yang agak sesuai untuk mandi-manda. Kelihatan beberapa kumpulan lain telah lebih dahulu bersuka ria. Namun begitu, kami yang masing-masing telah lama mengikat perut sudah tidak sabar-sabar untuk menikmati juadah yang sederhana (bihun goreng+nugget+sandwich+kek coklat). Selesai sahaja menjamu selera, kami pun memulakan aksi masing-masing dan aku hanya bertugas sebagai jurufoto berjaya. Pelbagai macam aksi lucu sempat aku rakamkan dan membuatkan aku tergelak pecah perut bila melihatnya semula. Siapa yang kena?! Aku tidaklah sekejam itu untuk memaparkannya di sini, biarlah disimpan sahaja untuk memori aku dan rakan-rakan. Selepas penat bermain air, kami beransur pulang sekitar jam 4 petang. Maisng-masing sudah lenguh satu badan dan tidak sabar-sabar untuk tiba di rumah. Memang kenangan yang mengujakan!


Thursday, April 16, 2009

Puding Roti Laici Berstrawberi

Hmmm...yummy!

Nampak sedapkan? Inilah hasilnya puding yang berjaya aku siapkan masa mengisi masa lapang semalam. Di sini aku sertakan resipinya, bolehlah cuba buat sendiri nanti! Resipi ini aku dapat dari internet, saja cuba-cuba jadilah pula..

Bahan-bahan:

1 tin susu sejat
1 tin sirap laici
1 kotak serbuk jeli (perisa strawberi)
4 biji telur
5 keping roti
Gula secukupnya
Air secukupnya

Cara-caranya:

1.Kisar susu, sirap laici (laici diasingkan), telur dan sesudu gula sehingga hancur kemudian tuangkan ke dalam loyang.

2. Susun kepingan roti ke dalam loyang tadi dan biarkan adunan meresap kepada roti. Kukus selama 30-45 minit.

3.Selepas masak, sejukkan.

4.Larutkan serbuk jeli dan 3 sudu besar gula bersama air (400ml) di atas api yang sedehana sehingga masak.

5.Taburkan kepingan-kepingan laici tadi atas adunan kukus yang telah sejuk, kemudian tuangkan cairan jeli ke atasnya.

6.Sejukkan dalam peti dan sedia dihidang.


Wednesday, April 15, 2009

Lawatan Sambil Belajar

Tanggal 8 April yang lalu, aku dan rakan-rakan sekerja sekali lagi mengikuti lawatan sambil belajar dan kali ini destinasi kami ialah Petronas Pemprosesan Melaka di Sungai Udang, Melaka. Objektif lawatan ini ialah untuk memberikan pendedahan awal dan menambahkan pengetahuan kami tentang proses-proses yang terlibat untuk menghasilkan produk berguna daripada petroleum asli.

Secara amnya tapak memproses petroleum yang dimiliki oleh syarikat minyak negara kita ini merupakan pelan memproses petroleum yang terbesar sekali di rantau Asia Tenggara. Memiliki dua buah pelan memproses iaitu PSR-1 dan PSR-2 membolehkan ia menghasilkan kapasiti produk sehingga 100, 000 barrel/sehari. Bagi merealisasikan matlamat unutk menjadi pelan memproses petroleum yang terbaik di rantau Asia Tenggara, seluruh warga Petronas Pemprosesan Melaka bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga kualiti produk yang dihasilkan dan penyelidikan demi penyelidikan giat dijalankan bagi meningkatkan taraf produk yang dikeluarkan.

Ada desas-desus mengatakan bahawa pelan ini terletak di persisiran pantai Melaka kerana kerajaan mempunyai agenda-agenda tertentu. Khabar angin yang pernah aku dengar ialah untuk menaiktaraf sosioekonomi para penduduk sekitar terutamanya orang-orang Melayu. Maklumlah, sebuah pusat memproses petroleum sudah lama beroperasi di Kerteh dan ia didakwa bagi membangunkan kawasan sekitar seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada penduduk Pantai Timur. Sejauh manakah tanggapan-tanggapan ini benar?Semasa sesi soal jawab berlangsung, soalan ini turut dikemukakan dan jawapan yang diberikan ada logiknya. Menurut kakitangan yang bertugas, sebab utama pusat pemprosesan ini dibina di Melaka ialah bagi menampung keperluan memproses minyak di daerah Pantai Barat. Sebelum wujudnya pusat pemprosesan petroleum di Melaka, semua petroleum asli dihantar ke Kerteh malah sebahagian besarnya dibawa dari Singapura dan kosnya amat tinggi. Oleh yang demikian, lahirlah Petronas Pemprosesan Melaka. Alhamdulillah, wujudnya pelan memproses ini juga dapat mengubah nasib penduduk setempat secara tidak langsung. Bersyukurlah...

Seterusnya, satu lagi isu yang sering digembar-gemburkan ialah tentang kualiti minyak yang dihasilkan dan dijual oleh Petronas di dalam negara dikatakan berkualiti rendah oleh sesetengah pihak. Pihak ini turut mendakwa hal ini berlaku kerana hasil bumi yang berkualiti oleh negara kita pula dijual kepada negara luar. Benarkah dakwaan ini? Menurut kakitangan bertugas, negara kita hanya menghasilkan minyak RON-92 dan RON-95 sahaja. Semua sedia maklum bahawa minyak RON-97 adalah yang terbaik tetapi negara kita tidak menghasilkannya bukan kerana tidak mampu tetapi atas sebab-sebab tertentu. Bagi menghasilkan minyak RON-97, kuantiti petroleum asli yang diperlukan lebih banyak sedangkan kebanyakan kereta-kereta di negara kita direkacipta untuk menggunakan minyak sehingga RON-95 namun ini tidak bermakna minyak RON-97 tidak boleh digunakan oleh kereta-kereta terbabit tetapi ianya adalah suatu pembaziran kerana kereta tersebut sudah boleh beroperasi pada tahap maksimum walau hanya menggunakan minyak RON-95. Di samping itu, petroleum asli negara kita adalah yang terbaik di seluruh dunia maka khazanah berharga ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya maka apa yang dipanggil reserved oil perlu disimpan bukan untuk kita sahaja malah lebih penting untuk generasi akan datang. Jadi, bagaimana pendapat anda sekarang?

Demikianlah serba sedikit info yang dapat aku kongsi di Ceri Merah ini, harap dapat membantu para pembaca sekalian. Di bawah ini ada beberapa keping foto yang diambil semasa lawatan, semoga terhibur!!



Mendengar penerangan di dalam dewan


Pandangan menyeluruh pelan pemprosesan dari puncak Bukit Tinjau


Jeti di mana kapal-kapal tangki membawa petroleum mendarat


Pemandangan 2 buah column dari Bukit Tinjau


Pas masuk ditampal pada cermin hadapan bas - sistem keselamatan yang ketat

Tuesday, April 7, 2009

Puding Roti

Bahan-bahan ( 3-4 orang )

4 keping roti, disapu mentega
450ml susu segar
3 biji telur
25g gula
1 sudu besar tepung kastard


Cara-cara

1.Potong roti sesuka hati dan susun di dalam loyang.
2.Panaskan susu di atas api(jangan sampai mendidih).
3.Pukul telur dan gula sampai kembang dan masukkan susu yang telah dipanaskan.
4.Masukkan tepung kastard dan kacau hingga sebati.
5.Tuang campuran atas susunan roti. Biarkan selama 15min supaya roti kembang.
6.Bakar 20-30min pada suhu 180. Kemudian sejukkan.


Sumber: www.myresipi.com

Puding Telur

Bahan-bahan

8 biji telur (gred A)
1 tin susu pekat

1 tin air
1 sudu teh esen vanilla
beberape titik pewarna kuning

Cara-cara

1.Pukul telur hingga kembang.
2.Kemudian masukkan susu pekat dan air, kacau adunan hingga sebati.
3.Masukkan esen vanila dan pewarna.
4.Tapis adunan sebelum masuk ke dalam acuan dan kukus.
5.Kukus dalam masa 30 minit.

Selamat mencuba..


Sumber: www.myresipi.com

 
Related Posts with Thumbnails